Tuesday, February 3, 2009

Harapan Dan Kenangan(Novel 1)




1. Aku

Kadang-kadang memang susah nak gambarkan diri sendiri pada orang lain. Manusia…makluk ciptaan-Nya yang mampu dikuasai nafsu yang telah lama wujud dalam diri manusia sejak Adam dan Hawa dilemparkan ke bumi. Jadi, memang betullah manusia ni kuat dan pandai berbohong?! Bagi aku penipuan, pendustaan, pembohongan dan auta telah lama menjadi tatacara hidup manusia sejak zaman tuk nador berkajang kain lagi. Aku pernah berbohong dan mungkin aku suka berbohong pada setiap insan yang pernah aku temui. Tapi aku selalunya berbohong untuk menyenangkan orang lain, menggembirakan insan sedih, meriangkan mereka yang sepi. Jadi, aku ini adalah pembohong mulia. Pembohong mulia? Lain macam pula bunyinya tapi itu sajalah istilah yang aku rasa sesuai dan sepadan pada saat dan detik ini.

Nama aku Dollah. Siapakah aku sebenarnya? Bagi aku, aku ini hanyalah seorang remaja lelaki yang agak sentimental dalam hidup, cepat gugup tapi cepat menyesuaikan diri dengan keadaan, selalu berpeluh dan resah bila berbicara tentang cinta. Bukannya aku tak pernah bercinta tapi selalu saja gagal dalam bidang percintaan ini. Entahlah, mungkin tiada lagi universiti yang menawarkan kursus diploma untuk program percintaan? Hahaha! Kadang-kadang aku sendiri terfikir yang aku ni mungkin love loser. Tapi aku tak boleh pula mengeluh dengan ketentuan Allah, itu melawan takdir namanya. Yang penting dalam sunnatullah sudah memang tertulis jodoh seseorang insan yang bergelar hamba Allah. Cuma kesabaran saja yang menjadi pengukur ketika ini. Bersabar dan jangan terlanjur. Itulah prinsip aku.

Malam ini, tepat pukul 7.39 bertarikh 22 November 2006, aku bergerak sayu dengan kereta Unser 1.8 berwarna maroon meninggalkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Merbok, Kedah. Semakin jauh kereta yang dipandu abah semakin hilang pandangan Uitm yang aku sayangi selama ini. Sedih, seronok, sayu, dan seribu satu perasaan berbaur di dalam hatiku ini. Hm…! Mungkin terlalu banyak memori aku terukir di awangan menara gading itu. Bagaikan seribu kenangan pahit dan manis yang dirempuhiku di bumi pengajian tinggi ini selaku siswa Uitm. Di bumi inilah aku membina keyakinan diri, mengenal rakan dan lawan dan juga di sinilah aku mengenal dan bermain dengan cinta.

UiTM Kedah adalah salah satu kampus yang menawarkan peluang pengajian dalam program matrikulasi perundangan yang terletak hanya 13 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani dan uniknya Uitm Kedah ini ia dikelilingi kebun getah seluas beratus ekar. Aroma getah sekerap yang menusuk hidung setiap insan yang pernah bermaustatin di sini sememangnya berupaya menyingkap segala tadbir-tadbir semalam di Uitm Kedah. Aku masih lagi terkenangkan hari-hari semalam di Uitm Kedah. Jika dahulunya aku ke sini berdaftar selaku seorang pelajar program perundangan UiTM Kedah tapi kini aku melangkah keluar selaku graduan matrikulasi UiTM Kedah. Sudah sampai waktunya aku berfikir tentang liku-liku hidup yang bakal aku lalui setelah bergelar pelajar ijazah program perundangan Uitm Shah Alam.

Sememangnya setiap insan ingin menyambung ijazah di mana-mana pusat pengajian tinggi seperti UiTM Shah Alam. Bercakap pula tentang UiTM Shah Alam, ada saja yang membuat hati aku rasa serba kekurangan. Entahlah, mungkin bagi aku, pola petempatan UiTM Shah Alam sememangnya serabut, berselarak dan agak crowded. Landskap tak cantik dan tak menenangkan langsung!! Walaupun hanya beberapa kali sahaja aku menjejak kaki ke kampus induk itu, tapi sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Maklumlah, selaku kampus induk kalau tak complicated tak bolehlah jadi kampus induk. Tetapi itu hanya pendapat aku. Mungkin salah atau mungkin betul. Apa yang aku tahu sekarang ini, aku kena siapkan diri aku untuk menghadapi masa depan yang sememangnya lagi banyak cabaran yang aku bakal tempuhi. Kadang-kadang aku rasa macam dah hilang semangat nak bawa bidang perundangan ni, berat sangat!! Perlu menghafal itu, ini dan macam-macam lagi. Tetapi, apa yang menguatkan aku sekarang ini adalah harapan Mama dan Abah yang aku galas semenjak aku melangkah kaki ke alam persekolahan. Abah pun selalu kata

“Kak Sya boleh tak kan kamu tak boleh…”

Hm...aku selalu terkedu bila teringatkan kata-kata abah itu. Kak Sya memang hebat. Selaku kakak sulung yang tiada sebarang role-modul dalam perjalanan hidupnya selaku graduan perundangan, Kak Sya tetap berjalan menempuhi rintangan yang datang menyerang dari segala arah. Berjalan dan terus berjalan walaupun lambat tapi dia terus berjalan. Aku sentiasa doakan kakak sulung aku itu sentiasa berjaya dalam apa jua bidang yang akan dan sedang diceburinya. Sebenarnya, dialah salah satu sumber inspirasi aku selama ini tapi aku tak mahulah memberitahunya, nanti dia riak pula…biasalah manusia. Pantang disuap pujian walaupun sesudu kecil, tapi ego dan bangganya sebesar bahtera.

Walau apapun, aku rasa hidup aku di bumi Allah ini ditemani dengan seribu cabaran dan dugaan. Kadang-kadang sesaklah juga. Bukannya sesak sebab aku ada banyak penyakit or else… tapi selaku orang gemuk yang meniti kehidupan di dunia realiti ini, telah banyak rahsia ragam manusia yang telah aku singkap. Hiprokrisme, beautifulism, handsomelisme dan macam-macam istilah yang tak pernah wujud selama ini tiba-tiba saja terhasil. Hm…banyak betul ragam manusia. Selaku anak yang ketiga dari lima adik-beradik, aku sememangnya perlu memainkan peranan aku selaku anak, adik dan juga abang yang baik. Aku tak boleh lari jika orang mengatakan aku inilah paling pandai dan bijak dalm keluarga aku namun, bagi aku ilmu dalam dada ini masih lagi sedikit dan aku perlu terus dan terus berjalan mencari ilmu. Satu sifat sahaja dalam diri aku ini tak boleh nak diubah sejak dahulu lagi. Aku seoang yang kuat merajuk. Mungkin sebab inilah aku clash ngan awek aku bulan lepas. Dah la gemuk, kuat merajuk pula, teruk betul aku ni.

Tetapi, asasnya di sini, aku juga punya perasaan seperti berjuta manusia yang bertaburan di serata kesuburan bumi ciptaan Allah ini. Terlalu banyak perasaan telah aku luahkan sepanjang sembilan belas tahun kehidupan aku di bumi ini. Tapi antara yang tidak boleh aku lupakan adalah taburan kenangan terindah aku di UiTM Kedah. Segalanya di sini…

-UiTM KEDAH-


No comments:

Post a Comment